Setiausaha Persatuan Penduduk Apartmen Idaman, Ikhshan Mohd Din berkata, walaupun langkah pencegahan dilakukan, namun ia masih berleluasa.
“Sebelum raya, kes pecah rumah masih dapat dikawal namun nampaknya ia kembali berulang kebelakangan ini," katanya.
Salah seorang penduduk menunjukkan cara penjenayah terbabit memasuki rumah melalui bumbung. |
Menurutnya, sejak Julai hingga Ogos tahun ini, dianggarkan sebanyak 16 kes kejadian pecah rumah dilaporkan.
“Apa yang membimbangkan, rondaan yang dilakukan pihak persatuan seakan tiada kesan kerana penjenayah masih berjaya meloloskan diri," katanya.
Beliau berkata, kebanyakan modus operandi dilakukan dengan cara memecah masuk rumah penduduk yang terletak di tingkat atas melalui bumbung.
Kegiatan tidak bermoral itu juga dirancang dilakukan pada waktu penduduk bekerja bagi mengelakkan ia dihidu.
Disebabkan itu, penduduk mula tidak senang duduk kerana bimbangkan keselamatan harta benda dan diri mereka.
Dalam pada itu, Ketua Biro Keselamatan Apartmen Idaman, Azmi Ardi berkata, pihaknya sering memantau kawasan berkenaan dalam usaha mengawal kes pecah rumah.
Menurut Azmi, beberapa tangkapan juga pernah dibuat.
“Bagaimanapun kita syak kes pecah rumah ini dilakukan pihak lain dan bukannya individu yang pernah ditahan sebelum ini,” katanya sambil memberitahu wang ringgit dan barangan kemas sering dilaporkan hilang.
Pengerusi Persatuan Penduduk Apartmen Idaman, Azizan Suradi berkata, pihaknya berharap agar penduduk dapat bersama-sama membantu mengawal kadar peningkatan kes pecah rumah di sini.
Menurut Azizan, penduduk tidak hanya boleh berharap kepada pihak persatuan bagi menjalankan pemantauan memandangkan kawasan berkenaan mempunyai 18 blok.
“Kita ada banyak blok di sini dan pihak persatuan tidak mampu mengawal kawasan ini 24 jam,” katanya.
Tambahnya, suri rumah yang tidak bekerja diharap dapat melaporkan sebarang maklumat sekiranya berlaku kejadian yang mencurigakan berhampiran kediaman mereka.
-Sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan