KUALA LIPIS - Mengintai peluang berniaga di pasar malam tanpa mengenal jemu dan bersungguh-sungguh sehingga mengukir kejayaan, Mohd Fauzi Mohd Daud, 26, menjadi usahawan kek yang berjaya seperti sekarang.
Biarpun hanya berpendidikan sehingga sekolah menengah, Mohd Fauzi yang tinggal di Felda Sungai Koyan tidak pernah putus asa walaupun mengalami kesukaran pada peringkat awal perniagaan.
Mohd Fauzi berkata, usaha membuat pelbagai jenis kek untuk dijual di pasar malam dan pekan sehari tidak sesukar mana bagi menjana pendapatan keluarga dengan menggunakan modal yang kecil.
Malah katanya, pengalaman membantu keluarga menjalankan perniagaan semasa usia remaja banyak membantunya dalam usaha memacu perniagaan.
“Saya memulakan perniagaan menjual kek segera menggunakan modal sekecil RM100 dengan bantuan ibu dan isteri yang membuat pelbagai jenis kek termasuk kek cawan untuk jualan di merata-rata tempat.
“Saya hanya menggunakan motosikal, payung dan meja kecil untuk menjual makanan ini termasuk di pasar malam pekan Sungai Koyan,” katanya.
Mohd Fauzi berkata, kemahiran adunan dan resipi yang betul menyebabkan produk kek diusahakannya berjaya menambat hati pelanggan.
Menurutnya, ketika berniaga di bazar Ramadan Sungai Koyan baru-baru ini, dia memperoleh pendapatan antara RM200 hingga RM300 dalam tempoh empat jam sahaja bermula jam 3 petang.
“Kek ini dipotong dan dijual mengikut saiz tertentu antara RM3 hingga RM8 yang berpatutan dan mampu dibeli pengunjung bazar serta pasar malam.
“Saya akan teruskan perniagaan ini selepas Hari Raya Aidilfitri dengan menumpukan lokasi pekan sehari dan pasar malam di Lipis serta Raub,” katanya.
Mohd Fauzi juga berhasrat untuk mengikuti kursus teknik pembungkusan dan menjenamakan produk keknya untuk memudahkan pasaran serta tahan lama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan