Khamis, 18 Julai 2013

Kain samping baju melayu tradisi sejak turun temurun

Sedar tidak sedar sudah 10 hari kita berpuasa dan tidak lama lagi kita bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dan yang pasti hari raya akan disambut dengan penuh keriangan.Tidak ketinggalan kaum lelaki mengenakan pakaian baju melayu yang cantik dengan disertakan kain samping baju melayu.Tidak lengkap pakaian baju melayu jikalau tiada samping yang pastinya menampakkan si pemakai kelihatan segak bergaya bak pahlawan dahulu kala.

Kain Samping Baju Melayu
Dengan memakai samping, penampilan seseorang lelaki kelihatan lebih berketerampilan dan kemas selain membuktikan bahawa baju Melayu merupakan satu fesyen yang unik bagi masyarakat Melayu.
Selalunya, samping menggunakan kain kapas namun untuk kain songket dan sutera juga sering digunakan untuk acara formal atau mahu lebih bergaya. Samping yang diperbuat dari fabrik songket banyak didapati di Kelantan dan harganya lebih mahal dari kain kapas. Samping tenunan sutera yang berkualiti tinggi pula sangat popular di Pahang.

Cara Pemakaian kain samping baju melayu
Untuk memakai samping di majlis-majlis tertentu terutamanya majlis istana, terdapat beberapa etika ikatan samping yang perlu diikuti bergantung kepada jenis baju Melayu yang dipakai samada Baju Melayu Cekak Musang dan Baju melayu Teluk Belanga. Ikatan samping di atas baju dipanggil samping dagang luar dan biasanya dikenakan bersama baju Melayu Cekak Musang oleh masyarakat Pahang manakala pemakaian samping di bawah baju iaitu samping dagang dalam selalunya digayakan oleh masyarakat Johor dengan Baju Melayu Teluk Belanga. Terdapat tiga jenis ikatan yang boleh dipraktikkan ketika memakai samping iaitu ikatan pancung, ikatan kembung (selalunya untuk pengantin lelaki) dan ikatan lingkup.

Kini kain samping baju melayu boleh didapati dimana-mana sahaja dan jika anda ingin mendapatkan yang cantik dan murah boleh terus pergi ke terengganu pusat pembuatan kain samping yang paling popular masa kini.

Sumber:Yahoo News Malaysia Today

Tiada ulasan:

Catat Ulasan