Memaparkan catatan dengan label Luahan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Luahan. Papar semua catatan

Rabu, 18 September 2013

Luahan Hati, Seorang Isteri Yang Kecewa, Suami Suka Berfoya-Foya

Saya seorang guru dan ingin meminta pandangan berkaitan masalah rumah tangga. Saya sudah berkahwin hampir lima tahun. Saya mencintai suami sepenuh hati.

Masalah saya, suami mempunyai hobi suka berfoya-foya. Dia mengaku hal ini. Sebelum ini saya cuba memberi nasihat dan bersabar, tetapi dia tak pernah berubah.

Kami tidak mempunyai anak, malah pemeriksaan doktor mengesahkan sperma suami tak normal.

Saya kecewa dengan sikap suami. Malah, sehari sebelum berangkat ke tanah suci untuk melakukan umrah beberapa bulan lalu, dia masih sempat berfoya-foya dengan perempuan lain di tasik selain berjanji keluar makan bersama.







Gambar Hiasan

Kami pernah bertengkar sehingga saya masuk ke hospital. Saya tertekan mendapat tahu suami berjanji bercuti dengan kekasihnya di Genting Highlands.

Mereka sudah setahun bercinta dan ingin bertunang sedangkan saya menunggunya di rumah. Suami memberikan alasan kerja tak boleh balik.

Buat pengetahuan Dr, saya sanggup susah bersamanya walaupun setengah tahun perkahwinan dia tidak memberi nafkah.

Selepas itu saya menerima nafkah melalui potongan gaji kerana suami tentera. Selama berkahwin saya menggunakan duit sendiri untuk perbelanjaan dapur.

Malah, saya keluarkan duit membeli motosikal untuknya kerana kewangannya tak stabil. Suami selalu minta duit setiap bulan. Kadangkala gajinya sudah habis dalam masa seminggu.

Ada ketika setiap minggu dia akan minta duit. Jika keluarganya juga memerlukan duit, dia akan minta daripada saya.

Sekarang dia bertugas di luar negara. Saya minta dia tinggalkan saya secara baik, tetapi dia tak mahu lepaskan saya. Alasannya dia malu jika orang lain tahu sikapnya yang sebenar dan berjanji untuk berubah.

Bagaimanapun, kepercayaan saya padanya kini sudah hilang. Sukar untuk saya teruskan hidup bersamanya selepas dikhianati berkali-kali.

Saya cuba memberitahu ibunya kes terbaru, tapi ibunya tak percaya. Malah, keluarganya menganggap saya cemburu.

Untuk menghadapi masalah ini saya selalu melakukan solat Istikharah minta diberikan petunjuk, tetapi tak nampak apa-apa. Saya tak boleh salahkan suami, mungkin apa yang dia kehendaki tiada pada saya.

Saya hendak dia bahagia, tapi tak boleh memaksa diri untuk terus begini lagi. Saya mohon nasihat Dr.

Isteri buntu
Kuala Lumpur

Puan boleh memohon untuk memfasakhkan perkahwinan di mahkamah syariah dengan mengemukakan alasan di atas. Alasan berkenaan diterima syarak.

Namun, satu lagi pilihan, puan juga boleh bersabar dengan keadaan yang ada dan menerimanya sebagai ujian Allah kepada puan.

Pilihan pertama lebih baik jika ia membawa kebaikan kepada puan sendiri. Bagaimanapun, fikirlah dengan sebaik-baiknya sebelum mengambil sebarang keputusan agar tidak menyesal kemudian hari.

View the original article here

Ahad, 15 September 2013

Luahan Hati Suami, Isteri Bertukar-Tukar Teman Lelaki

Sebuah kisah sedih hati suami mana tidak hancur jika isterinya masih bertuar-tukar pasangan hingga ke bilik ikuti pengakuan seorang suami bernama mamat(bukan nama Sebenar)

SAYA sebenarnya tidak tahu apa yang dia mahukan. Malah saya menerima dirinya seadanya dan mahu membimbing dia ke jalan yang benar," ujar Mamat (bukan nama sebenar) ketika meluahkan isi hati mengenai perkahwinannya yang hanya mampu bertahan selama dua setengah bulan.

Bercerita lanjut Mamat memberitahu, perkahwinannya dilangsungkan berdasarkan cinta dan tiada paksaan daripada mana-mana pihak walaupun hakikatnya dia mengetahui kehidupan 'hitam' yang dilalui bekas isterinya itu sebelum mereka diijabkabulkan.







Gambar Hiasan

Dia yang juga merupakan seorang hamba Allah yang tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan bagaimanapun sanggup menerima bekas isterinya itu. Malah berniat untuk membimbing dan seterusnya meninggalkan kehidupan yang lalu.

"Secara jujur saya beritahu, kehidupan bekas isteri saya dahulu boleh dikatakan seperti pelacur kelas atasan.

"Ini kerana setiap lelaki yang berdampingan dengannya pasti akan dibawa ke ranjang.

"Walaupun dirinya keji begitu saya sanggup 'kutip', malah menerima dia seadanya dan melupakan segala kehidupannya yang lalu.

"Tapi saya tidak pernah menyangka semuanya hanya lakonan. Dia tetap meneruskan kehidupannya bertukar-tukar pasangan dan mengajak teman-teman lelakinya ke ranjang selepas kami berkahwin," ujarnya lanjut.

Tidak cukup dengan itu, menurut Mamat, segala pemberian semasa perkahwinan mereka dahulu termasuklah wang hantaran berjumlah RM10,000 semuanya diserahkan kepada teman-teman lelakinya.

Mamat yang ternyata kecewa dengan perangai bekas isterinya pada mulanya tidak mempercayai bahawa wanita itu sanggup berbuat demikian memandangkan dia pernah berjanji untuk meninggalkan segala-galanya untuk memulakan kehidupan baharu.

Ternyata janji tinggal janji. Malah Mamat memberitahu, bekas isterinya seolah-olah amat ketagih dengan perangai lamanya yang dahagakan seks lelaki lain serta tidak puas dengan hubungan seks 'halal' bersama suaminya sendiri.

Mamat pernah terfikir sekiranya bekas isterinya itu sanggup dan ingin berubah sudah pasti dia akan memikirkan mengenai dirinya yang sudah 'kotor' dan 'tercemar' sanggup pula diterima oleh seorang lelaki yang telah mengetahui segala-galanya mengenai kegiatan tidak bermoral dirinya selama ini.

Apa yang lebih mengecewakan Mamat, bekas isterinya tidak pernah rasa bersalah dengan apa yang dilakukan.

Dia juga pernah menipu Mamat dengan memberitahu bahawa dia perlu bekerja di luar daerah. Tetapi pada hakikatnya dia pergi berfoya-foya dengan teman lelakinya di sebuah pusat peranginan terkenal di Pahang.

"Sebenarnya daripada 'kerja luar daerah' itulah segala-galanya terbongkar, apabila saya menjumpai resit dia menginap di sebuah hotel di pusat peranginan tersebut.

"Bukan itu sahaja, saya turut menjumpai resit minuman di pusat peranginan itu yang tercatat pukul 3 pagi dan hanya ada dua pesanan minuman sahaja dibuat.

"Waktu itu saya berasa sangat dihina dan ditipu hidup-hidup. Setelah bertanya dan disoal, akhirnya bekas isteri saya mengaku berada di pusat peranginan itu bersama kekasihnya," katanya dalam nada sebak.

Begitupun, Mamat berkata, dia tetap memaafkan bekas isterinya itu dan ingin memberi peluang kedua kepadanya. Namun lain pula yang jadi apabila seorang rakan memberitahu dia terserempak dengan bekas isterinya dengan lelaki lain dalam keadaan begitu intim.

Mamat yang begitu tawar hati dengan perangai bekas isterinya yang telah diberikan peluang untuk menginsafi diri itu akhirnya mengakibatkan mereka berdua bergaduh.

Dalam pergaduhan itu bekas isterinya sanggup menghina dan mencerca dirinya.

Kata Mamat, dia sememangnya tidak pernah menyangka bahawa bekas isterinya sanggup menghina dirinya semata-mata ingin bersama dengan teman-teman lelakinya.

Dia akhirnya mengambil keputusan bercerai dengan wanita itu.

Apa yang lebih mengejutkan Mamat, selepas perkara tersebut berlaku, dia cuba berbincang perkara itu dengan keluarga mentuanya tetapi sangkaannya tidak seperti yang diharapkan.

"Cuba bayangkan, saya berkunjung ke rumah mentua di Pantai Timur untuk berbincang mengenai perkara tersebut serta memberitahu perkara yang telah berlaku antara saya dengan anak mereka.

"Tetapi apa yang mengejutkan ialah mereka tidak mempercayai apa yang diceritakan oleh saya. Mentua menyokong apa yang dilakukan oleh anak mereka.

"Di sini nampak sangat seolah-olah mereka tahu mengenai kegiatan anak mereka selama ini tetapi tidak menegah apatah lagi memberi nasihat untuk meninggalkan segala perbuatan terkutuk itu," jelasnya.

Mamat yang kini tetap menduda tidak pernah terfikir untuk berkahwin lain. Peristiwa tersebut tetap segar dalam ingatan walaupun telah berlaku empat tahun yang lalu.

Yang pasti, hari ini setelah empat tahun, Mamat baru-baru ini akhirnya menerima permohonan maaf daripada bekas isterinya atas apa yang telah dilakukan.

Malangnya Mamat menegaskan, dirinya sama sekali tidak akan memaafkan perbuatan bekas isterinya itu.

Mamat memberitahu dia sebenarnya bukan berdendam tetapi sehingga kini telinganya masih terngiang-ngiang segala cercaan serta makian yang pernah dihamburkan oleh bekas isterinya itu.

Walaupun tidak pernah ambil peduli lagi akan kehidupan bekas isterinya selepas mereka bercerai, Mamat mendapat tahu bahawa bekas isterinya kini terkontang-kanting ditinggalkan oleh setiap teman lelakinya apabila telah mendapat teman wanita lain.

"Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya dan dalam hal saya ini mungkin tuhan ingin menunjukkan saya sesuatu.

"Mula-mula teman lelakinya meninggalkannya untuk seorang wanita lain dan selepas ini tidak tahu pula apa yang akan berlaku.

"Cuma satu apa yang saya harapkan agar dia segera bertaubat dan menginsafi dengan apa yang telah berlaku sebelum semuanya terlambat kerana ajal maut kita tidak boleh jangka," beritahu Mamat sebelum mengakhiri bicara

-via

View the original article here