Penantian khalayak selama hampir dua tahun pada filem aksi arahan Syamsul Yusof, KL Gangster (KLG) 2 akhirnya bakal bernoktah apabila filem itu mula ditayangkan 3 Oktober depan.
Namun seperti pepatah, air yang dicincang tidak akan putus, ketegangan anak-bapa itu tidak berpanjangan dan beransur reda tidak lama kemudian.
Belum pun sembuh konflik itu sepenuhnya, legasi Skop Productions ini sekali lagi diuji apabila filem paling dinantikan itu diancam penjenayah cetak rompak yang mengedarkan KLG2 di Internet dan pasaran gelap sebulan sebelum ia dibuka kepada umum.
Bagaimanapun, selesai Malam Gala filem itu di TGV 1 Utama malam kelmarin, segala cabaran dan perit-jerih menghasilkan KLG2 bagai terjawab apabila hasilnya ternyata cukup membanggakan.
Yusof yang ditemui selepas majlis itu mengakui, dugaan dan kesulitan untuk menjelmakan filem usahasama dengan Grand Brilliance (GB) itu terubat selepas melihatkan versi akhir KLG2.
“Alhamdulillah, saya begitu berbangga dengan kerja Syamsul. Segala pelaburan dan masa yang dihabiskan untuk menunggu filem ini siap terbayar selepas melihat hasilnya.
“Saya akui kerjanya teliti dan memakan masa serta kos yang tinggi, tapi ia membawa hasil yang membanggakan bukan hanya saya, malah industri perfileman tempatan,” katanya.
Sebelum itu dalam ucapan yang keras dan tegas, Yusof dengan lantang berkata, perjuangan Skop Productions untuk membawa penyangak dan dalang yang bertanggungjawab merompak karya anaknya itu ke muka pengadilan tidak akan berhenti.
“Saya akan tentang habis-habisan biar sampai ke titisan darah terakhir sekali pun! Saya takkan menyerah kalah! Saya bukan ahli politik, tetapi hanya pejuang seni yang tidak mahu pembikin filem kita terus ditindas.
“Cukuplah Allahyarham Tan Sri P Ramlee menjadi mangsa kapitalis pada zamannya. Saya tak perlu takut pada sesiapa. Penyangak itu pasti akan dibawa ke pengadilan!,” katanya.
Rosyam terpaksa pilih watak
Beralih kepada salah seorang bintang utama, Rosyam Nor yang menggalas peranan hitam sebagai Tailong, pelakon berusia 46 tahun itu mengakui, ia bukan tanggungjawab mudah untuk dilaksanakan.
“Bukan kata fizikal saya terlalu sesuai dan mantap untuk watak Tailong. Umur saya pun sudah berapa dan banyak pula babak aksi dan pertarungan.
“Sebenarnya, saya mengah dan keletihan juga untuk menjayakan watak itu. Namun, saya cuba sedaya upaya. Alhamdulillah, dengan bantuan dan sokongan pengarah serta pelakon lain, semua berjalan baik,” katanya yang melakukan sendiri semua aksi lagak ngeri untuk watak itu.
Tambah Rosyam, pada fasa ini, dia perlu mencari watak dan naskhah yang kuat dan bersesuaian bagi memastikan jenamanya relevan dengan pasaran semasa.
“Memang pada umur dan pengalaman sekarang, saya kena ambil watak atau karya yang kena dengan kredibiliti diri. Tak boleh lagi, filem yang lembik untuk peringkat umur saya kerana ia tidak akan membantu penonjolan watak.
“Bukan apa, saya perlu naskhah yang baik agar dapat menarik peminat generasi lebih muda menonton kerja saya. Mungkin bagi peminat usia 30-an dan ke atas memang tahu kerja saya terdahulu, tetapi bagaimana dengan generasi baru?
“Sebab itu, sekarang saya hanya ambil watak yang besar dan memberikan impak. Saya berharap watak Tailong dalam KLG2 ini dapat mendekatkan jenama saya kepada kelompok peminat baru,” katanya.
Seorang lagi pelakon utama Aaron Aziz berkata, dia amat bertuah terbabit dalam produksi KLG2 yang mempunyai ikatan sepasukan yang kukuh.
“Semua benda kita nak buat sepanjang penggambaran akan melalui proses perbincangan bersama. Pendek kata, kami jadi sangat rapat dan sepakat dalam membuat apa-apa keputusan.
“Saya bersyukur dan bertuah sebenarnya diberi peluang untuk terbabit dalam filem ini. Ia pengalaman berbeza khususnya untuk pembikinan filem kali ini,” katanya.
Malam gala KLG2 turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Kamarudin Siaraf, Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn Bhd, Tengku Iesta Tengku Alaudin serta Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar. Turut hadir pengarah Datin Paduka Shuhaimi Baba.
Kenapa Syamsul tak muncul?
Malam gala filem berkenaan sepatutnya menjadi momen bersejarah paling dinantikan seluruh tenaga kerja di sebalik KLG2, termasuklah pengarah Syamsul Yusof sendiri.
Sayangnya, kelibat jejaka berusia 29 tahun itu tidak kelihatan pada majlis itu sampai ke sudah. Tanpa kehadiran teraju utama filem itu, majlis berkenaan memang kurang berseri dan suram, walaupun sajian KLG2 membanggakan semua hadirin yang menonton.
Mengulas mengenai perkara itu, Yusof berkata, anaknya enggan hadir kerana kecewa selepas filem berkenaan disebarkan secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab di internet beberapa minggu lalu.
“Syamsul bermati-matian untuk KLG2, sudah tentu dia sangat kecewa apabila filem ini dirompak. Selagi penyangak itu tak ditangkap dia (Syamsul) memang tidak boleh lena, sampaikan tak mahu datang malam ini (kelmarin).
“Apa yang berlaku saya tak kesalkan. Allah SWT beri kemanisan dan kemewahan berpuluh tahun kepada saya sekeluarga, takkan satu benda kecil berlaku kita tak mampu hadapi? Saya mohon sangat Syamsul bangkit semula,” katanya.
Yusof berkata, dia juga berharap kedukaan dialami Syamsul akan pulih dan tidak berpanjangan kerana menyedari potensi yang dimiliki anaknya itu pada masa akan datang.
“Saya harap sangat Syamsul tak silap perhitungan dan kecewa berlanjutan dengan apa berlaku. Rintangan adalah sesuatu yang tidak boleh kita elakkan dalam kehidupan.
“Saya cakap pada dia, kalau saya yang sudah umur 60 tahun pun kuat hadapi masalah ini, takkan dia umur tak sampai 30 tahun dah lemah semangat?
“Sebenarnya, saya risau jika Syamsul betul-betul mahu berhenti berkarya seperti yang dia cakap sebelum ini gara-gara kejadian itu,” katanya.
Bercerita mengenai sasaran dan potensi filem itu, Yusof berkata, tanpa meletakkan sebarang harapan tinggi, dia sebaliknya menyerahkan soal kutipan kepada Tuhan.
“Ini kerja Allah. Saya atau Syamsul tak letak apa-apa sasaran. Memadailah kalau dapat kutipan yang setimpal dengan pelaburan dan usaha kami.
“Apa pun, berdasarkan kajian dan tinjauan pihak pawagam, mereka optimis filem ini mampu kutip RM15 juta kerana respons diterima daripada penonton menyatakan 95 peratus mahu ke pawagam walaupun KLG2 sudah bocor di internet,” katanya.
sumber: harian metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan