Rabu, 21 Ogos 2013

Pemandu teksi dalam 4 jam ditahan 2 kali

Kuala Lumpur: Pemandu degil. Itu tindakan dibuat seorang pemandu teksi yang dicekup dalam operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebanyak dua kali dalam tempoh empat jam atas kesalahan sama iaitu tidak menggunakan meter, kelmarin.Dalam operasi yang dijalankan SPAD berdasarkan 79 aduan terkini daripada orang awam, 27 teksi ditahan permit di bawah notis 79 dan sebuah teksi disita atas kesalahan tidak menggunakan meter.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, teksi berkenaan yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang semalam (kelmarin) atas kesalahan tidak menggunakan meter.“Pemandu itu diberi notis pada mulanya dan dalam operasi sama, dia ditahan sekali lagi empat jam kemudian di kawasan yang sama.


“Pemandu berkenaan turut ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kerana gagal saringan awal ujian air kencing yang positif dadah,” katanya dalam operasi SPAD bersama AADK, di sini.

Katanya, SPAD mengambil langkah proaktif menerusi Ops Khas Teksi bersama AADK di sekitar KLCC, Pavillion, Jalan Bukit Bintang, dan KL Sentral .Menurutnya, mereka menggunakan kaedah penyamaran bagi mengesan kesalahan pemandu teksi yang tidak menggunakan meter.“Dalam fasa pertama, kami dapat mengesan 15 kes dan pada waktu malam ditambah lagi 12 kes yang dikenakan tindakan termasuk sebuah teksi disita.“Hingga Ogos 2013, SPAD berjaya menahan 144 teksi yang sering melakukan pelbagai kesalahan dalam siri operasi dilakukan sepanjang tahun,” katanya.

Beliau berkata, pemilik permit teksi diberi tempoh 5 hari untuk hadir ke ibu pejabat SPAD untuk siasatan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 22 atas kesalahan tidak menggunakan meter dan Seksyen 75 untuk kesalahan menetapkan kadar tambang di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Sumber:Hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan